cup of coffee

Pengajaran Secawan kopi

Sekumpulan bekas pelajar yang sudah berjaya di dalam kerjaya masing-masing telah berkumpul untuk melawat pensyarah universiti yang pernah mengajar mereka. Mereka berasa gembira kerana dapat bersua sesama mereka setelah lama tidak berjumpa, apatah lagi dapat menemui pensyarah universiti yang selama ini telah banyak membantu mereka ketika menuntut ilmu di universiti yang menatijahkan kerjaya yang baik buat mereka.

Setelah lama berbual, timbullah beberapa rungutan tentang tekanan di tempat kerja dan juga dalam kehidupan seharian yang disuarakan oleh beberapa bekas pelajar ini. Pensyarah itu hanya mendengar dan kemudian beliau ke dapur untuk menyediakan minuman kopi untuk tetamu-tetamunya.

Beliau kemudiannya keluar dengan membawa satu bekas besar yang berisi minuman kopi dan beberapa jenis cawan. Ada cawan yang diperbuat daripada porselin, plastik, kaca dan kristal. Ada cawan yang kelihatan ringkas sahaja. Ada yang nampak murah. Dan ada juga yang kelihatan mahal dan sangat cantik.

Pensyarah itu mempelawa tetamu-tetamunya agar melayan-diri. Masing-masing pergi ke meja tempat dihidangkan minuman kopi itu dan menuangkan sendiri ke dalam cawan yang berbagai-bagai bentuk, warna dan buatannya itu. Setelah semuanya mengambil secawan kopi, pensyarah itu berkata:

“Jika anda perasan, kesemua cawan-cawan yang kelihatan cantik dan mahal telah pun diambil, tetapi cawan-cawan yang ringkas dan nampak murah tiada sesiapa yang mahu mengambilnya. Biasalah tu, memang semua nakkan yang terbaik untuk diri sendiri kan…”

Beliau kemudian menyambung.

“Itulah puncanya kepada masalah-masalah anda. Dan itulah sebabnya kenapa anda berasa tertekan dengan kerjaya dan kehidupan.”

“Saya pasti, cawan-cawan itu tidak memberikan apa-apa nilai kepada kopi yang anda minum. Dalam beberapa situasi, cawan-cawan itu hanya membuatkan kopi yang diminum itu lebih mahal harganya. Dan di dalam situasi yang lain, cawan itu malah menyorokkan apa yang kita minum.”

“Apa yang anda semua betul-betul mahukan adalah minuman kopi itu. Bukan cawannya. Tetapi anda tetap mahukan cawan yang terbaik sifatnya, dan kemudian anda memandang dan menjeling ke arah cawan kawan-kawan anda untuk melihat siapakah yang memiliki cawan yang paling cantik atau paling bagus.”

“Sekarang, cuba anda fikirkan. KEHIDUPAN adalah ibarat kopi. Manakala pekerjaan, wang, pangkat dan kedudukan di dalam masyarakat adalah ibarat cawan. Yang mana ia hanyalah bekas kepada KEHIDUPAN!”

“Rupa dan jenis cawan tidak memberi makna atau mengubah nilai KEHIDUPAN yang sedang kita jalani ini. Kadang-kadang dengan kita hanya menumpukan kepada rupabentuk CAWAN, kita gagal untuk menikmati MINUMAN KOPI itu. Jadi, nikmatilah dan tumpukanlah kepada KOPI itu, bukan CAWANNYA!”

“Manusia yang bahagia bukanlah mereka yang memiliki yang terbaik dalam setiap perkara. Manusia yang bahagia adalah mereka yang sentiasa membuat yang terbaik di dalam setiap perkara.”

“Hiduplah dengan sederhana. Bercakaplah dengan baik, ambil beratlah dengan sungguh-sungguh, berkasih sayanglah, bermurah hatilah… dan hayatilah kehidupan ini dengan penuh makna. Jangan terlalu ditumpukan kepada aksesori kehidupan.”

Mudah-mudahan kalian dapat memahami mesej yang cuba disampaikan oleh tulisan di atas. Tulisan di atas telah saya terjemah dan sunting dari video ‘Life Is Like A Cup Of Coffee’ yang dipetik dari spiritual-short-stories.com. Penulis asalnya tidak diketahui.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *